Wednesday 25 May 2011

"Jika Islam Itu Benar, Tempatkan Bilikku Di Dalam Neraka"


Assalamualaikum... Saya ingin berkongsi dengan anda semua satu kisah benar yang benar-benar berlaku di BUMI ISLAM sendiri iaitu di bandar Iskandariah, Mesir. Semoga kisah ini cukup untuk memberi iktibar, menyayat hati anda seterusnya dapat menyedarkan anda dari terus leka dengan permainan dunia yang melalaikan.

Kisahnya bermula pada suatu hari, ada seorang gadis Mesir yang telah terpengaruh dengan cara hidup masyarakat Barat menaiki sebuah bas mini di Mesir. Dia ingin pergi ke sebuah destinasi di wilayah Iskandariah. Malang sungguh gadis itu, meskipon dia tinggal dibumi yang terkenal dengan tradisi keislaman tetapi pakaiannya yang dipakai sangat menjolok mata. Bajunya agak nipis dan seksi sehingga hampir ternampak segala benda yang sepatutnya disembunyikan oleh seorang perempuan daripada pandangan lelaki ajnabi atau mahramnya.

Gadis itu berusia dalam lingkungan 20 tahun. Ketika berada di dalam bas, ada seorang orang tua yang rambutnya dipenuhi dengan uban telah menegurnya: "Wahai pemudi! alangkah baiknya jika kamu berpakaian yang baik dan sopan, sesuai dengan adat ketimuran dan agama Islam kamu, itu lebih baik daripada kamu berpakaian begini yang pastinya kamu menjadi mangsa pandangan liar kaum lelaki....." nasihat orang tua itu.

Namun, nasihat yang sangat bertepatan dengan tuntutan agama itu dijawab oleh gadis itu dengan jawapan yang mengejek: "Siapalah kamu hai orang tua? adakah kamu cuba nak ingatkan aku supaya menutup aurat sepenuhnya sedangkan bapa kandungku sendiri tidak pernah menasihati aku? apakah kamu mahu aku berpakaian menutup aurat sedangkan aku masih mahu bebas menayangkan tubuh badanku di khalayak ramai? apakah di tangan kamu ada anak kunci syurga? atau adakah kamu memiliki sejenis kuasa yang menentukan aku bakal berada di syurga atau neraka?" Setelah menghamburkan kata-kata yang sangat menghiris perasaan orang tua itu, gadis itu telah tertawa panjang. Tidak cukup setakat itu, gadis berkenaan lantas cuba memberikan telefon bimbitnya kepada orang tua tadi sambil melafazkan kata-kata yang lebih dahsyat. "Jika ISLAM itu BENAR, tempatkan bilikku di Neraka, ambil handphoneku ini dan hubungilah Allah serta tolong tempahkan sebuah bilik di neraka jahanam untukku," katanya lagi lantas ketawa berdekah-dekah tanpa mengetahui bahawa dia sedang mempertikaikan hukum Allah dengan begitu biadab sekali.

Orang tua tersebut berasa sangat terkejut mendengar jawapan daripada si gadis itu. Sayang sekali, wajahnya yang ayu tidak sama dengan perilakunya yang buruk. Penumpang-penumpang yang lain turut terdiam malah ada yang menggelengkan kepala. Semua yang berada di dalam bas tidak menghiraukan gadis muda yang tidak menghormati hukum-hakam agama itu dan mereka tidak mahu menasihatinya lagi kerana khuatir dia akan menghina agama dengan lebih teruk lagi.

Sepuluh minit kemudian bas pun tiba di perhentian. Gadis seksi bermulut celupar tersebut telah tertidur di muka pintu bas berkenaan. Puas pemandu bas termasuk para penumpang yang lain mengejutkannya tapi gadis tersebut tetap tidak sedarkan diri. Orang tua tadi terus memeriksa nadi gadis itu. Sedetik kemudian dia menggeleng-gelengkan kepalanya tanda gadis itu telah kembali menemui penciptanya dalam keadaan yang tidak disangka-sangka. Para penumpang bas menjadi cemas dengan berita yang menggemparkan itu. Di dalam suasana kelam kabut itu, tiba tiba tubuh gadis itu terjatuh ke pinggir jalan. Orang ramai segera berkejar untuk menyelamatkan jenazah tersebut. Tapi sekali lagi mereka terkejut. Sesuatu yang aneh telah menimpa jenazah yang terbujur kaku di jalan raya. Mayatnya menjadi hitam seolah-olah dibakar api. 2-3 orang yang cuba mengangkat mayat tersebut juga kehairanan kerana tangan mereka terasa panas dan hampir melecur sebaik saja menyentuh tubuh mayat itu. Akhirnya mereka mengambil keputusan memanggil pihak keselamatan menguruskan mayat itu.

Begitulah kisah ngeri lagi menyayat hati yang menimpa gadis malang tersebut. Apakah hasratnya menempah sebuah bilik di neraka dimakbulkan Allah? Na'uzubillah, sesungguhnya Allah itu Maha Berkuasa di atas segala sesuatu. Sangat baik kita jadikan iktibar dan pelajaran dengan kisah benar ini sebagai Muslim sejati. Jangan sesekali kita mempertikaikan hukum Allah mahupun sunnah RasulNya s.a.w. dengan mempersendakan atau mengejek. Kata kata seperti ajaran Islam tidak sesuai lagi dengan arus kemodenan dunia hari ini atau sembahyang tidak akan buat kita jadi kaya dan seumpamanya adalah kata-kata yang sangat biadab dan menghina Allah, pencipta seluruh alam.

Ingatlah teman, kita boleh melupakan kematian tetapi kematian tetap akan terjadi kepada kita. Hanya masanya saja yang akan menentukan bila kita akan kembali ke alam barzakh. Janganlah menjadi orang yang bodoh, siapakah orang yang bodoh itu? mereka ialah orang yang ingin melawan Allah. Apabila anda enggan melaksanakan suruhan Allah bererti anda ingin melawan arahan Allah.

Sewaktu di sekolah anda tertakluk dengan undang-undang sekolah, dalam pekerjaan anda tertakluk dengan undang-undang yang dilakar dan dibuat oleh majikan anda, di dalam negara anda tertakluk di bawah undang-undang negara anda. Begitu taksub sekali anda terhadap undang-undang itu sehingga terlalu prihatin takut kalau melanggar undang-undang tersebut. Apabila anda berpijak di bumi ini, anda juga tertakluk dengan undang-undang yang telah digubal oleh pencipta yang menjadikan bumi ini.

Setiap Sultan mempunyai taman larangannya, begitu juga Allah s.w.t.. Ia juga mempunyai taman larangan. Taman larangan-Nya ialah perkara-perkara yang telah diharamkan bagi hamba-hamba-Nya di muka bumi ini. Sama-samalah kita memohon agar Allah sentiasa memberi kita petunjuk diatas jalan yang benar dan Dia memberikan kekuatan kepada kita agar kita sentiasa dapat menjaga lidah kita, amin.Kisah ini dikongsikan dan diceritakan oleh sahabat saya sendiri yang berasal di Malaysia dan kini berada di perantauan.

Sunday 15 May 2011

Salam Hari Guru


Saya mengucapkan selamat menyambut Hari Guru kepada semua insan yang bergelar pendidik... Jasamu mendidik anak bangsa akan dikenang sampai bila-bila... Semoga Allah membalas jasamu guru...

Saturday 14 May 2011

Perutusan Pengerusi Aqsa Syarif Sempena Memperingati Peristiwa Nakbah Yang Ke-63


Dengan nama ALLAH Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani.

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarokatuh...

Tarikh 15 Mei adalah sejarah penting bagi seluruh warga dunia. Pada setiap tahun rakyat Palestin akan mengingati tarikh tersebut di mana mereka telah ditimpa satu tragedi yang tidak ada tolok bandingnya dalam sejarah kemanusiaan. Mereka diusir keluar dari tanah air mereka sendiri setelah ribuan rakyat Palestin dibunuh dengan begitu kejam sekali dan ratusan kampung dan pekan mereka dimusnahkan oleh pengganas-pengganas Zionis. Adalah amat mendukacitakan apabila tragedi kemanusiaan yang dahsyat ini berlaku pada tahun yang sama di mana Deklarasi Hak Asasi Manusia disepakati dan menjadi sebahagian daripada Piagam PBB. Sebaik sahaja deklarasi ini diluluskan, bangsa Palestin telah menjadi mangsa pelanggaran hak asasi yang pertama di dunia! Deklarasi hanya tinggal di atas kertas sahaja kerana selama 63 tahun, pencabulan ke atas hak asasi rakyat Palestin masih berterusan dan tidak mendapat perhatian yang sewajarnya oleh masyarakat dunia.

Aqsa Syarif yang sentiasa merasakan penderitaan rakyat Palestin bahkan setiap saat sentiasa mencari jalan untuk membantu menghentikan penindasan, kezaliman dan pencabulan ke atas hak dan maruah rakyat Palestin tidak akan berdiam diri. Sebaliknya di atas rasa persaudaraan dan rasa kemanusiaan yang dikongsi dengan seluruh warga dunia akan sama menangisi tragedi Nakbah yang merupakan titik hitam di dalam sejarah manusia sejagat.

Untuk membuktikan rasa kebersamaan dalam memikul luka berpanjangan yang ditanggung oleh rakyat Palestin maka Aqsa Syarif akan menganjurkan aktiviti ‘KONVOI MEMBEBASKAN PALESTIN’. Aktiviti ini membuktikan komitmen Aqsa Syarif bersama warga Malaysia untuk terus menerajui kempen pembebasan bumi Palestin seperti yang digariskan dalam agenda nasional perjuangan rakyat Palestin iaitu penubuhan sebuah negara Palestin yang berdaulat dengan Baitul Muqaddis sebagai ibu negara dan hak rakyat Palestin yang berlindung di kem-kem pelarian di timur tengah bahkan yang berada di seluruh dunia untuk pulang ke tanah air mereka. Konvoi ini secara simboliknya melambangkan aspirasi rakyat Palestin yang tidak pernah berputus asa untuk kembali ke tanah air mereka.

Bagi para peserta yang menyertai konvoi ini, Aqsa Syarif mengucapkan jutaan penghargaan di atas kebersamaan dan solidariti utuh yang dipamerkan. Konvoi ini adalah merupakan satu syiar (lambang) bahawa warga Malaysia tanpa mengira kaum dan agama akan sentiasa mendukong perjuangan pembebasan bumi Palestin dari cengkaman rejim Zionis Israel. Konvoi ini adalah bukti bahawa warga Malaysia berganding bahu dengan seluruh masyarakat antarabangsa yang berdiri teguh di belakang perjuangan rakyat Palestin.

Sokongan yang dizahirkan di peringkat antarabangsa adalah bukti bahawa tidak ada kuasa yang boleh menghalang hasrat masyarakat antarabangsa untuk melihat hak rakyat Palestin ke atas tanah air mereka dikembalikan. Kuasa-kuasa besar dunia harus sedar dan insaf bahawa mereka tidak mungkin dapat mempertahankan rejim haram Israel yang didirikan pada 15 Mei 1948 dengan cara yang paling jijik dan keji untuk selamanya. Roda kehidupan akan berputar dan kezaliman yang ditimpakan ke atas rakyat Palestin akan berakhir. Israel hanya menunggu ajalnya tiba. Tanda-tanda bahawa Israel sedang berada di penghujung usianya semakin jelas apabila rejim-rejim Arab yang bersekongkol dengan Zionis ditumbangkan satu persatu oleh rakyat mereka sendiri dalam tempoh yang amat singkat.

Pada para peserta konvoi, Aqsa Syarif mendoakan agar anda semua mendapat keberkatan yang besar dari amal yang anda lakukan. Setiap wang yang dibelanjakan akan menjadi rezeki yang dilipatgandakan. Bahan api yang menggerakkan kuasa kuda pelbagai kapasiti akan melonjakkan kualiti hidup di dunia dan akhirat. Setiap debu yang melekat pada tubuh badan, pakaian dan kenderaan anda akan menjadi saksi perjuangan pembebasan bumi Palestin.

Bersama Aqsa Syarif ‘MEMPERKASA UMMAH, MEMBEBASKAN MASJID AL-AQSA’.

Dr Hafidzi Mohd Noor
Pemangku
Pengerusi Aqsa Syarif
bersempena 15 Mei 2011

Tuesday 10 May 2011

Kerana Sahabat, Ahli Syurga Enggan Memasuki Syurga


Sahabat… Bila terdengar atau terbaca perkataan ini, saya teringat pada sahabat lama saya yang telah sudah tiada lagi. Siapa diantara anda semua yang masih belum mempunyai sahabat? Jika masih belum ada, carilah seorang yang benar-benar ikhlas berkawan dan bersahabat dengan kita. Tidak rugi kerana apabila ada sahabat yang baik, waktu senang dan susah kita pun dia pasti akan menolong. Sama seperti kisah yang saya akan sampaikan ini.

Di dalam sebuah hadith Nabi ada menerangkan bahawa pada hari kiamat nanti Allah akan memerintahkan dua orang hamba hadir mengadap-Nya. Seorang adalah hamba yang taat kepada perintah Allah dan seorang lagi hamba yang derhaka kepada Allah. Kedua-duanya hamba itu mati di dalam keadaan beriman. Lalu Allah menyuruh malaikat Ridhwan membawa orang yang taat itu ke syurga dan memuliakannya dengan firman Allah, “Aku merelakan dia”.

Kemudian Allah memerintahkan kepada malaikat Zabaniyah membawa hamba yang seorang lagi ke neraka dan Allah memerintahkannya diseksa dengan seksaan yang amat pedih. Firman Allah, “Sesungguhnya orang ini adalah peminum arak”.

Orang yang taat kepada Allah itu rasa sangat gembira kerana dia telah dapat masuk ke syurga dengan rahmat Allah. Apabila orang itu hendak menjejakkan kakinya ke pintu syurga maka dia terdengar suara sahabatnya yang diheret ke neraka itu berkata, “Wahai sahabatku, wahai temanku, kasihanilah aku dan berikanlah aku pertolongan”.

Apabila orang itu mendengar rayuan sahabatnya, maka dia tidak mahu masuk ke dalam syurga. Malaikat Ridhwan berkata kepadanya, “Masuklah ke dalam syurga dengan rahmat Allah”. Orang itu berkata, “Aku tidak mahu masuk ke dalam syurga, bawalah aku ke neraka”. Lalu malaikat Ridhwan menjawab, “Aku tak dapat membawa kamu ke neraka sebab Allah telah memerintahkan aku membawa kamu ke syurga dan melayani kamu”.

Orang itu tetap berdegil dan berkata, “Aku tidak mahu masuk ke syurga dan tak mahu juga menerima layananmu”. Setelah itu kedengaran satu suara yang berkata, “Wahai Ridhwan, Aku maha mengetahui apa-apa yang ada di dalam hatinya, namun demikian kamu tanyalah kepadanya sendiri dan kamu akan mengetahui apa sebabnya”. Lalu malaikat Ridhwan bertanya, “Kenapakah kamu tidak mahu masuk ke dalam syurga dan mengapakah kamu ingin masuk ke dalam neraka”?

Orang itu menjawab, “Aku tak mahu ke syurga sebab orang yang derhaka kepada Allah itu telah diputuskan masuk ke neraka. Dahulunya aku dan dia bersahabat baik di dunia dan dia telah meminta pertolongan dariku supaya selamatkannya dari api neraka. Oleh kerana aku tiada kuasa untuk berbuat demikian, maka aku fikir lebih baik aku juga masuk ke neraka supaya sama-sama disiksa di dalamnya”.

Kemudian kedengaran seruan Allah yang maha memberi rahmat berfirman, “Wahai hamba-Ku, kamu dengan kelemahanmu tidak suka melihat sahabatmu itu masuk ke neraka kerana dia telah berkenalan denganmu di dunia hanya sebentar dan dia mengetahuimu dan menemanimu hanya beberapa hari saja. Maka bagaimanakah Aku merelakan kamu masuk ke neraka sedangkan kamu telah mengetahui Aku selama umurmu dan telah menjadikan Aku sebagai tuhanmu selama 70 tahun. Oleh itu pergilah kamu ke dalam syurga bersama sahabatmu itu dan Aku telah mengampuninya dan Aku serahkan dia kepada kamu”.

————————————

Apabila saya baca saja firman Allah yang terakhir itu, saya rasa bergetar seluruh badan. Semoga Allah tempatkan kita semua dalam golongan yang beriman dan Dia sentiasa memberi kita rahmat-Nya. Tanpa rahmat dari Allah, tiada siapa pun layak ke syurga-Nya.

Wednesday 4 May 2011

Asal Usul Perayaan Hari Ibu


Sejarah hari ibu telah dikenalpasti sebagai perayaan musim bunga orang-orang Greece.Ia disambut sebagai penghormatan terhadap Rhea, ibu kepada tuhan mereka. Pada tahun 1600, orang-orang England merayakan satu hari yang mereka namakan sebagai "Mothering Sunday". Ia dirayakan pada hari Ahad keempat setiap Lent. Lent adalah tempoh masa selama 40 hari sama ada dalam bulan Februari atau Mac. Dalam tempoh ini, sebahagian orang-orang Kristian akan berhenti melakukan atau memakan makanan tertentu atas alasan agama. Amalan tersebut adalah sebagai penghormatan mereka terhadap Mother Mary. Mother Mary adalah Maryam, ibu kepada Nabi Isa a.s. atau Jesus yang mereka anggap sebagai tuhan.

Dalam tempoh tersebut juga, kebanyakan rakyat England yang faqir dan miskin akan bekerja sebagai pembantu rumah. Mereka sanggup keluar jauh meninggalkan keluarga kerana percaya bahawa Jesus akan memberikan kekayaan dan kesenangan dalam tempoh tersebut. Menjelang hari Ahad ke-4, mereka digalakkan untuk bercuti oleh majikan dan pulang ke kampung untuk bertemu dengan ibu. Setiap ibu akan dihadiahkan dengan Mothering Cake atau kek hari ibu sempena perayaan tersebut.

Amalan dan tradisi ini telah menular ke seluruh dunia dan ia kini disambut sebagai penghormatan kepada Mother Church. Mother Church dianggap sebagai kuasa spiritual yang agung yang memberi manusia kehidupan dan memulihara mereka dari sebarang kecederaan. Sejak dari itu, perayaan Mothering Sunday telah diadun dengan upacara kegerejaan. Penghormatan mereka terhadap ibu sama taraf dengan penghormatan mereka terhadap gereja.

Di AS, Hari Ibu disambut seawal tahun 1872 hasil ilham Julia Ward Howe. Beliau adalah seorang aktivis sosial dan telah menulis puisi " The Battle Hymn of The Republic". Puisi tersebut telah dijadikan lagu patriotik yang popular di kalangan warga AS. Ungkapan "Hallelujah" dalam bait-bait lagu tersebut begitu menyerlahkan lagi sentuhan Yahudi dan Zionis dalam mencaturkan politik dunia.

Pada tahun 1907, Anna Jarvis dari Philadelphia telah memulakan kempen untuk melancarkan Hari Ibu. Beliau telah berjaya mempengaruhi Mother's Church di Grafton, West Virginia agar merayakan dan meraikan Hari Ibu pada hari ulang tahun ke-2 kematian ibunya iaitu pada hari Ahad ke-2 dalam bulan Mei. Semenjak dari itu, hari Ibu dirayakan saban tahun di Philadelphia.

Anna Jarvis dan pendokong-pendokongnya telah menulis surat kepada menteri, golongan peniaga dan ahli-ahli politik agar Hari Ibu disambut secara meluas di seluruh wilayah. Matlamat mereka telah berjaya sepenuhnya pada tahun 1911 apabila hari tersebut disambut oleh hampir keseluruhan wilayah AS. Pada tahun 1914, Presiden Woodrow Wilson secara rasminya telah mengisytiharkan Hari Ibu sebagai Hari cuti umum dan mesti diraikan pada setiap hari Ahad ke-2 dalam bulan Mei. Biarpun sebahagian besar negara-negara di dunia menyambutnya pada hari yang berlainan tetapi negara seperti Denmark, Finland, Itali, Turki, Australia, dan Belgium masih merayakannya pada setiap hari Ahad ke-2 dalam bulan Mei.