Wednesday 25 May 2011

"Jika Islam Itu Benar, Tempatkan Bilikku Di Dalam Neraka"


Assalamualaikum... Saya ingin berkongsi dengan anda semua satu kisah benar yang benar-benar berlaku di BUMI ISLAM sendiri iaitu di bandar Iskandariah, Mesir. Semoga kisah ini cukup untuk memberi iktibar, menyayat hati anda seterusnya dapat menyedarkan anda dari terus leka dengan permainan dunia yang melalaikan.

Kisahnya bermula pada suatu hari, ada seorang gadis Mesir yang telah terpengaruh dengan cara hidup masyarakat Barat menaiki sebuah bas mini di Mesir. Dia ingin pergi ke sebuah destinasi di wilayah Iskandariah. Malang sungguh gadis itu, meskipon dia tinggal dibumi yang terkenal dengan tradisi keislaman tetapi pakaiannya yang dipakai sangat menjolok mata. Bajunya agak nipis dan seksi sehingga hampir ternampak segala benda yang sepatutnya disembunyikan oleh seorang perempuan daripada pandangan lelaki ajnabi atau mahramnya.

Gadis itu berusia dalam lingkungan 20 tahun. Ketika berada di dalam bas, ada seorang orang tua yang rambutnya dipenuhi dengan uban telah menegurnya: "Wahai pemudi! alangkah baiknya jika kamu berpakaian yang baik dan sopan, sesuai dengan adat ketimuran dan agama Islam kamu, itu lebih baik daripada kamu berpakaian begini yang pastinya kamu menjadi mangsa pandangan liar kaum lelaki....." nasihat orang tua itu.

Namun, nasihat yang sangat bertepatan dengan tuntutan agama itu dijawab oleh gadis itu dengan jawapan yang mengejek: "Siapalah kamu hai orang tua? adakah kamu cuba nak ingatkan aku supaya menutup aurat sepenuhnya sedangkan bapa kandungku sendiri tidak pernah menasihati aku? apakah kamu mahu aku berpakaian menutup aurat sedangkan aku masih mahu bebas menayangkan tubuh badanku di khalayak ramai? apakah di tangan kamu ada anak kunci syurga? atau adakah kamu memiliki sejenis kuasa yang menentukan aku bakal berada di syurga atau neraka?" Setelah menghamburkan kata-kata yang sangat menghiris perasaan orang tua itu, gadis itu telah tertawa panjang. Tidak cukup setakat itu, gadis berkenaan lantas cuba memberikan telefon bimbitnya kepada orang tua tadi sambil melafazkan kata-kata yang lebih dahsyat. "Jika ISLAM itu BENAR, tempatkan bilikku di Neraka, ambil handphoneku ini dan hubungilah Allah serta tolong tempahkan sebuah bilik di neraka jahanam untukku," katanya lagi lantas ketawa berdekah-dekah tanpa mengetahui bahawa dia sedang mempertikaikan hukum Allah dengan begitu biadab sekali.

Orang tua tersebut berasa sangat terkejut mendengar jawapan daripada si gadis itu. Sayang sekali, wajahnya yang ayu tidak sama dengan perilakunya yang buruk. Penumpang-penumpang yang lain turut terdiam malah ada yang menggelengkan kepala. Semua yang berada di dalam bas tidak menghiraukan gadis muda yang tidak menghormati hukum-hakam agama itu dan mereka tidak mahu menasihatinya lagi kerana khuatir dia akan menghina agama dengan lebih teruk lagi.

Sepuluh minit kemudian bas pun tiba di perhentian. Gadis seksi bermulut celupar tersebut telah tertidur di muka pintu bas berkenaan. Puas pemandu bas termasuk para penumpang yang lain mengejutkannya tapi gadis tersebut tetap tidak sedarkan diri. Orang tua tadi terus memeriksa nadi gadis itu. Sedetik kemudian dia menggeleng-gelengkan kepalanya tanda gadis itu telah kembali menemui penciptanya dalam keadaan yang tidak disangka-sangka. Para penumpang bas menjadi cemas dengan berita yang menggemparkan itu. Di dalam suasana kelam kabut itu, tiba tiba tubuh gadis itu terjatuh ke pinggir jalan. Orang ramai segera berkejar untuk menyelamatkan jenazah tersebut. Tapi sekali lagi mereka terkejut. Sesuatu yang aneh telah menimpa jenazah yang terbujur kaku di jalan raya. Mayatnya menjadi hitam seolah-olah dibakar api. 2-3 orang yang cuba mengangkat mayat tersebut juga kehairanan kerana tangan mereka terasa panas dan hampir melecur sebaik saja menyentuh tubuh mayat itu. Akhirnya mereka mengambil keputusan memanggil pihak keselamatan menguruskan mayat itu.

Begitulah kisah ngeri lagi menyayat hati yang menimpa gadis malang tersebut. Apakah hasratnya menempah sebuah bilik di neraka dimakbulkan Allah? Na'uzubillah, sesungguhnya Allah itu Maha Berkuasa di atas segala sesuatu. Sangat baik kita jadikan iktibar dan pelajaran dengan kisah benar ini sebagai Muslim sejati. Jangan sesekali kita mempertikaikan hukum Allah mahupun sunnah RasulNya s.a.w. dengan mempersendakan atau mengejek. Kata kata seperti ajaran Islam tidak sesuai lagi dengan arus kemodenan dunia hari ini atau sembahyang tidak akan buat kita jadi kaya dan seumpamanya adalah kata-kata yang sangat biadab dan menghina Allah, pencipta seluruh alam.

Ingatlah teman, kita boleh melupakan kematian tetapi kematian tetap akan terjadi kepada kita. Hanya masanya saja yang akan menentukan bila kita akan kembali ke alam barzakh. Janganlah menjadi orang yang bodoh, siapakah orang yang bodoh itu? mereka ialah orang yang ingin melawan Allah. Apabila anda enggan melaksanakan suruhan Allah bererti anda ingin melawan arahan Allah.

Sewaktu di sekolah anda tertakluk dengan undang-undang sekolah, dalam pekerjaan anda tertakluk dengan undang-undang yang dilakar dan dibuat oleh majikan anda, di dalam negara anda tertakluk di bawah undang-undang negara anda. Begitu taksub sekali anda terhadap undang-undang itu sehingga terlalu prihatin takut kalau melanggar undang-undang tersebut. Apabila anda berpijak di bumi ini, anda juga tertakluk dengan undang-undang yang telah digubal oleh pencipta yang menjadikan bumi ini.

Setiap Sultan mempunyai taman larangannya, begitu juga Allah s.w.t.. Ia juga mempunyai taman larangan. Taman larangan-Nya ialah perkara-perkara yang telah diharamkan bagi hamba-hamba-Nya di muka bumi ini. Sama-samalah kita memohon agar Allah sentiasa memberi kita petunjuk diatas jalan yang benar dan Dia memberikan kekuatan kepada kita agar kita sentiasa dapat menjaga lidah kita, amin.Kisah ini dikongsikan dan diceritakan oleh sahabat saya sendiri yang berasal di Malaysia dan kini berada di perantauan.

No comments:

Post a Comment