Saturday 2 April 2011

Sejarah April Fool


Bulan April telah tiba lagi, ada suatu sambutan jahiliah yang patut kita waspada bersama sebagai seorang Muslim iaitu sambutan 1 April sebagai hari April Fool. April Fool sendiri adalah hari di mana orang ramai diperbolehkan untuk menipu dan berbohong kepada orang lain. Tetapi tahukah anda apakah April Fool itu sebenarnya?

Sebenarnya perayaan April Fool adalah salah sebuah perayaan hari kemenangan orang kafir terhadap pembunuhan jutaan umat Islam di Andalusia atau Sepanyol oleh tentera salib yang dilakukan dengan cara penipuan. Sebab itulah, mereka merayakan April Fool dengan cara menghalalkan penipuan dan kebohongan walaupon ianya bertujuan untuk melawak sahaja.

Biasanya orang akan menjawab bahawa April Fool pada tanggal 1 April. Iaitu hari di mana kita boleh sahaja menipu rakan, orang tua, saudara atau orang lain dan orang yang terkena tidak boleh marah ketika mereka menyedari bahawa diri mereka telah menjadi sasaran April Fool.

Pada kebiasaannya mangsa penipuan jika sudah sedar terkena April Fool, maka dirinya juga akan tertawa dan tidak marah secara serius. Meskipon ianya belum sepopular perayaan tahun baru atau Valentine’s Day, budaya April Fool dalam masa dua dekad akhir-akhir ini memperlihatkan kecenderungan yang semakin menebal di dalam masyarakat kita terutamanya dikalangan anak-anak muda.

Tidak mustahil suatu masa nanti ianya akan tersebar luas ke masyarakat yang tinggal di kampung-kampung dan kawasan pedalaman. Peliknya masyarakat dengan mudah meniru kebudayaan Barat ini tanpa menyiasatnya terlebih dahulu apakah budaya itu baik atau tidak, bermanfaat atau sebaliknya.

Perayaan April Fool sebenarnya bermula dari suatu tragedi besar yang sangat menyedihkan dan memilukan bagi umat Islam. April Fool berasal dari satu episod sejarah umat Islam Andalusia atau Sepanyol pada tahun 1487 M atau bertepatan dengan tahun 892 H.

Semenjak Andalusia atau Sepanyol dibebaskan Islam pada abad ke-8 M oleh Panglima Thariq bin Ziyad, Sepanyol beransur-ansur tumbuh menjadi sebuah negara yang makmur. Pasukan Islam tidak sahaja berhenti di Andalusia atau Sepanyol tetapi mereka terus melakukan pembebasan demi pembebasan di negara-negara sekitarnya sehinggalah menuju ke negara Perancis.

Perancis Selatan dengan mudah dapat dibebaskan oleh umat Islam. Kota Carcassone, Nimes, Bordeaux, Lyon, Poitou, Tours dan sebagainya telah dapat ditawan oleh tentera Islam. Walaupun tentera Islam sangat kuat ketika itu, mereka masih memberikan toleransi kepada suku kaum Goth dan Navaro di kawasan daerah sebelah barat yang merupakan kawasan pegunungan. Pada ketika itu agama Islam telah berjaya menerangi bumi Andalusia atau Sepanyol.

Disebabkan sikap para penguasa Islam ketika itu yang begitu baik dan rendah hati, banyak orang-orang Sepanyol yang telah memeluk agama Islam. Orang Islam Andalusia atau Sepanyol bersungguh-sungguh mempraktikkan Islam di dalam kehidupan seharian. Mereka telah meninggalkan muzik, bir atau arak, pergaulan bebas dan segala hal yang dilarang oleh agama Islam. Keadaan tenteram seperti itu berlarutan selama hampir enam abad lamanya.

Selama hampir enam abad itu jugalah kaum kafir yang berada di sekeliling Sepanyol tanpa mengenal penat dan lelah terus menerus berusaha membersihkan agama Islam dari bumi Andalusia atau Sepanyol namun usaha mereka selalu gagal. Lalu musuh Islam telah menghantar sejumlah pasukan perisik untuk mempelajari kelemahan umat Islam Andalusia atau Sepanyol.

Akhirnya musuh Islam telah menemui cara untuk membersihkan agama Islam di bumi Andalusia atau Sepanyol iaitu dengan melemahkan iman mereka melalui serangan pemikiran dan budaya. Maka setelah itu mereka secara perlahan-lahan mulai mengirimkan alkohol atau arak dan rokok ke dalam wilayah Andalusia atau Sepanyol.

Muzik diperdengarkan kepada kaum muda Islam agar mereka lebih suka bernyanyi dan menari daripada membaca kitab suci Al-Quran. Musuh-musuh Islam juga mengirimkan ulama-ulama palsu yang berperanan untuk meniup-niupkan api perpecahan ke dalam tubuh umat Islam Andalusia atau Sepanyol. Lama-kelamaan usaha ini telah membuahkan hasil.

Akhirnya bumi Andalusia atau Sepanyol telah jatuh dan dikuasai pasukan tentera salib. Serangan yang dilakukan oleh pasukan tentera salib begitu kejam tanpa mengenal perikemanusiaan. Bukan sahaja pasukan tentera Islam yang dibunuh malah penduduk awam, wanita, anak-anak kecil dan orang-orang tua turut dibunuh. Satu demi satu daerah di Andalusia atau Sepanyol telah jatuh di tangan tentera salib.

Wilayah Granada merupakan daerah terakhir yang ditakluki oleh tentera salib. Penduduk-penduduk Islam di Andalusia atau Sepanyol terpaksa berlindung di dalam rumah untuk menyelamatkan nyawa. Tentera-tentera salib terus menerus mengejar mereka. Apabila jalan sudah menjadi sunyi dan sepi, maka tinggallah ribuan mayat orang Islam yang bergelimpangan bermandikan darah. Tentera salib mengetahui banyak muslim Granada bersembunyi di dalam rumah. Lalu tentera salib membuat satu pengumuman bahawa orang Islam Granada boleh keluar daripada rumah mereka dengan aman dan dibenarkan berlayar keluar Andalusia atau Sepanyol dengan membawa barang-barang keperluan mereka.

Orang-orang Islam ketika itu masih curiga dengan tawaran tersebut. Lalu beberapa orang Muslim telah dibenarkan melihat sendiri kapal-kapal penumpang yang sudah disiapkan di pelabuhan. Setelah mereka melihat ada kapal yang disediakan, mereka segera bersiap-siap untuk meninggalkan Granada dan berlayar meninggalkan Sepanyol.

Keesokan harinya, ribuan penduduk Islam Granada telah keluar dari rumah mereka dengan membawa seluruh barang-barang keperluan lalu menuju ke pelabuhan.Orang-orang Islam yang tidak mempercayai tawaran pasukan tentera salib memilih untuk bertahan dan terus bersembunyi di dalam rumah mereka.

Setelah ribuan umat Islam Andalusia atau Sepanyol berkumpul di pelabuhan, tentera salib dengan pantas menggeledah semua rumah yang telah ditinggalkan penghuninya lalu membakar rumah tersebut. Orang Islam yang masih bertahan di dalam rumah semuanya terkorban dan mati syahid.

Manakala ribuan umat Islam yang berada di pelabuhan hanya mampu memandang ketika tentera salib membakar kapal-kapal yang dikatakan akan mengangkut mereka keluar dari Andalusia atau Sepanyol. Kapal-kapal itu dengan cepat tenggelam. Ribuan umat Islam tidak dapat berbuat apa-apa kerana mereka tidak mempunyai senjata dan kebanyakan daripada mereka terdiri daripada golongan wanita dan kanak-kanak yang masih kecil. Tentera salib telah mengepung mereka.

Dengan satu teriakan, ribuan tentera salib membunuh umat Islam Andalusia atau Sepanyol tanpa rasa belas kasihan. Jerit tangis dan takbir bergema ketika itu. Seluruh umat Islam di pelabuhan itu habis dibunuh dengan kejamnya. Darah milik umat Islam telah mengalir dimana-mana. Laut yang ketika itu berwarna biru telah berubah menjadi merah kerana dibasahi darah umat Islam.

Tragedi yang menyayat hati ini berlaku bertepatan dengan tanggal 1 April. Inilah hari yang begitu diingati oleh penganut agama Kristian sebagai (The April Fool Day) pada setiap tanggal 1 April setiap tahun. Pada hari tersebut, manusia dibolehkan menipu dan berbohong kepada manusia yang lain.

Bagi penganut agama Kristian, April Fool merupakan hari untuk mereka meraikan kemenangan tentera salib membunuh umat Islam Andalusia atau Sepanyol dengan cara-cara penipuan. Sebab itulah, mereka merayakan April Fool dengan cara menghalalkan penipuan dan pembohongan.

Bagi umat Islam pula, April Fool tentunya merupakan satu tragedi yang sangat menyedihkan. Hari dimana ribuan saudara-saudaranya seagama disembelih dan dibunuh oleh tentera salib di Granada, Sepanyol. Sebab itu, adalah sangat tidak patut ada orang Islam yang merayakan perayaan ini. Siapapun orang Islam yang turut merayakan April Fool, sesungguhnya dia sedang merayakan ulang tahun pembunuhan ribuan saudara-saudaranya di Granada, Sepanyol lebih kurang 5 abad yang lalu. Jadi, perhatikan di sekeliling anda, adakah anak anda atau anda sendiri merayakan perayaan "April Fool" tanpa kita sedari.

No comments:

Post a Comment