Tuesday 10 May 2011

Kerana Sahabat, Ahli Syurga Enggan Memasuki Syurga


Sahabat… Bila terdengar atau terbaca perkataan ini, saya teringat pada sahabat lama saya yang telah sudah tiada lagi. Siapa diantara anda semua yang masih belum mempunyai sahabat? Jika masih belum ada, carilah seorang yang benar-benar ikhlas berkawan dan bersahabat dengan kita. Tidak rugi kerana apabila ada sahabat yang baik, waktu senang dan susah kita pun dia pasti akan menolong. Sama seperti kisah yang saya akan sampaikan ini.

Di dalam sebuah hadith Nabi ada menerangkan bahawa pada hari kiamat nanti Allah akan memerintahkan dua orang hamba hadir mengadap-Nya. Seorang adalah hamba yang taat kepada perintah Allah dan seorang lagi hamba yang derhaka kepada Allah. Kedua-duanya hamba itu mati di dalam keadaan beriman. Lalu Allah menyuruh malaikat Ridhwan membawa orang yang taat itu ke syurga dan memuliakannya dengan firman Allah, “Aku merelakan dia”.

Kemudian Allah memerintahkan kepada malaikat Zabaniyah membawa hamba yang seorang lagi ke neraka dan Allah memerintahkannya diseksa dengan seksaan yang amat pedih. Firman Allah, “Sesungguhnya orang ini adalah peminum arak”.

Orang yang taat kepada Allah itu rasa sangat gembira kerana dia telah dapat masuk ke syurga dengan rahmat Allah. Apabila orang itu hendak menjejakkan kakinya ke pintu syurga maka dia terdengar suara sahabatnya yang diheret ke neraka itu berkata, “Wahai sahabatku, wahai temanku, kasihanilah aku dan berikanlah aku pertolongan”.

Apabila orang itu mendengar rayuan sahabatnya, maka dia tidak mahu masuk ke dalam syurga. Malaikat Ridhwan berkata kepadanya, “Masuklah ke dalam syurga dengan rahmat Allah”. Orang itu berkata, “Aku tidak mahu masuk ke dalam syurga, bawalah aku ke neraka”. Lalu malaikat Ridhwan menjawab, “Aku tak dapat membawa kamu ke neraka sebab Allah telah memerintahkan aku membawa kamu ke syurga dan melayani kamu”.

Orang itu tetap berdegil dan berkata, “Aku tidak mahu masuk ke syurga dan tak mahu juga menerima layananmu”. Setelah itu kedengaran satu suara yang berkata, “Wahai Ridhwan, Aku maha mengetahui apa-apa yang ada di dalam hatinya, namun demikian kamu tanyalah kepadanya sendiri dan kamu akan mengetahui apa sebabnya”. Lalu malaikat Ridhwan bertanya, “Kenapakah kamu tidak mahu masuk ke dalam syurga dan mengapakah kamu ingin masuk ke dalam neraka”?

Orang itu menjawab, “Aku tak mahu ke syurga sebab orang yang derhaka kepada Allah itu telah diputuskan masuk ke neraka. Dahulunya aku dan dia bersahabat baik di dunia dan dia telah meminta pertolongan dariku supaya selamatkannya dari api neraka. Oleh kerana aku tiada kuasa untuk berbuat demikian, maka aku fikir lebih baik aku juga masuk ke neraka supaya sama-sama disiksa di dalamnya”.

Kemudian kedengaran seruan Allah yang maha memberi rahmat berfirman, “Wahai hamba-Ku, kamu dengan kelemahanmu tidak suka melihat sahabatmu itu masuk ke neraka kerana dia telah berkenalan denganmu di dunia hanya sebentar dan dia mengetahuimu dan menemanimu hanya beberapa hari saja. Maka bagaimanakah Aku merelakan kamu masuk ke neraka sedangkan kamu telah mengetahui Aku selama umurmu dan telah menjadikan Aku sebagai tuhanmu selama 70 tahun. Oleh itu pergilah kamu ke dalam syurga bersama sahabatmu itu dan Aku telah mengampuninya dan Aku serahkan dia kepada kamu”.

————————————

Apabila saya baca saja firman Allah yang terakhir itu, saya rasa bergetar seluruh badan. Semoga Allah tempatkan kita semua dalam golongan yang beriman dan Dia sentiasa memberi kita rahmat-Nya. Tanpa rahmat dari Allah, tiada siapa pun layak ke syurga-Nya.

No comments:

Post a Comment